Kesuburan manusia Kesuburan

Kedua-dua perempuan dan lelaki mempunyai kitaran hormon yang menentukan bila seseorang perempuan boleh mula mengandung dan bila seseorang lelaki menjadi cukup kejantanan. Kitaran perempuan kira-kira 28 hari lamanya, tetapi kitaran lelaki pula amat berbeza-beza. Lelaki boleh memancutkan dan menghasilkan sperma pada bila-bila masa dalam sebulan, tetapi mutu spermanya sekali-sekala merosot, disangkakan oleh saintis sebagai berkaitan dengan kitaran dalamannya.

Lebih-lebih lagi, usia juga memainkan peranan, terutamanya bagi wanita.

Kitaran haid

Rencana utama: Kitaran haid

Walaupun wanita boleh menjadi hamil pada bila-bila masa ketika kitaran haidnya, namun kesuburan puncak berlaku dalam masa beberapa hari sahaja dalam kitaran itu: biasanya dua hari sebelum dan dua hari selepas tariikh pengovulan[4]. Jendela kesuburan ini berbeza mengikut individu, seperti mana tarikh pengovulan juga berbeza antara kitaran-kitaran bagi seseorang wanita[5]. Ovulnya biasanya mampu disuburkan sehingga 48 jam selepas dilepaskan dari ovari. Sperma hidup di dalam uterus selama 48 hingga 72 jam pada puraranya, atau tidak melebihi maksimum 120 jam (lima hari).

Tempoh-tempoh dan selang-selang ini merupakan faktor-faktor penting untuk pasangan suami isteri yang menggunakan kaedah irama untuk mencegah hamil.

Kesuburan wanita

Purata umur menarke di Amerika Syarikat adalah sekitar 12.5 tahun.[6]Bagi perempuan pasca-menarke, sekitar 80% kitaran haid adalah beranovulasi pada tahun pertama selepas menarke, 50% pada tahun ketiga dan 10% pada tahun keenam.[7][8]Kesuburan wanita memuncak di antara usia 22 hingga 26 tahun, dan biasanya merosot selepas usia 30 tahun: seorang wanita berusia 30 tahun yang biasa mempunyai 12% simpanan ovari yang ada ketika lahir, tetapi merosot hingga 3% sahaja apabila berusia 40 tahun[9]. Disebabkan semakin ramai wanita yang melewatkan kehamilan mereka,[10] kaum manusia mungkin berhadapan dengan masalah kemandulan. Bagi wanita-wanita yang cuba mengandung tanpa menggunakan ubat kesuburan atau penyuburan in vitro:

  • Pada usia 30 tahun, 75% akan menjadi hamil dalam setahun, dan 91% dalam empat tahun.
  • Pada usia 35 tahun, 66% akan menjadi hamil dalam setahun, dan 84% dalam empat tahun.
  • Pada usia 40 tahun, 44% akan menjadi hamil dalam setahun, dan 64% dalam empat tahun.[11]

Perangkaan di atas adalah untuk kehamilan yang berkesudahan dengan kelahiran bayi yang hidup, serta mengambil kira kadar keguguran yang meningkat dalam kependudukan yang semakin menua. Menurut pertubuhan March of Dimes, "kira-kira 9 peratus kehamilan yang teriktiraf bagi kaum wanita berusia 20 hingga 24 tahun berkesudahan dengan keguguran. Risikonya meningkat kepada sekitar 20 peratus pada usia 35 hingga 39 tahun, dan mencecah 50 peratus menjelang usia 42 tahun".[12]

Kecacatan lahir, terutamanya yang melibatkan bilangan dan susun atur kromosom, juga meningkat bersama usia si ibu. Menurut March of Dimes lagi, "Pada usia 25 tahun, seseorang wanita ada peluang 1/1,250 untuk melahirkan bayi yang menghidap sindrom Down; pada usia 30 tahun, peluangnya 1/1,000; 35 tahun, 1/400; 40 tahun, 1/100; dan 45 tahun, 1/30."[13]

Penggunaan perubatan kesuburan dan/atau penyuburan in vitro boleh mencerahkan peluang menjadi hamil pada usia yang lebih lanjut. Kehamilan yang berjaya dengan bantuan rawatan kesuburan pernah dicatatkan bagi wanita setua 67 tahun.[14]

Kesuburan lelaki

Disfungsi erektil meningkat selaras dengan usia,[15] tetapi kesuburan lelaki tidak merosot begitu mendadak seperti wanita. Ada lelaki yang masih subur pada usia 94 tahun.[15] Bagaimanapun, bukti sains menunjukkan bahawa peningkatan usia lelaki berkaitan dengan kemerosotan jumlah semen, kemotilan sperma, dan morfologi sperma.[16] Dalam kajian yang terlaras untuk usia wanita, perbandingan antara lelaki bawah 30 tahun dan lelaki lebih 50 tahun menemui pengurangan kadar kehamilan secara relatif antara 23% dan 38%.[16]

Kiraan sperma berkurangan mengikut usia, yang mana lelaki berusia 50–80 tahun mampu menghasilkan purata 75% sperma yang mampu dihasilkan oleh lelaki berusia 20–50 tahun. Bagaimanapun, perbezaan yang lebih ketara terlihat dalam bilangan tubul sperma dalam testis yang mengandungi sperma yang matang:

  • Bagi lelaki berusia 20–39 tahun, 90% tubul sperma mengandungi sperma yang matang.
  • Bagi lelaki berusia 40–69 tahun, 50% tubul sperma mengandungi sperma yang matang.
  • Bagi lelaki berusia 80 tahun ke atas, 10% tubul sperma mengandungi sperma yang matang.[15]

Kaji selidik terkini mendapati bahawa semakin tua si bapa, semakin besar risiko masalah kesihatan untuk anaknya. Sebuah kajian besar-besaran di Israel, setelah terlaras untuk tahun kelahiran, taraf sosioekonomi, dan usia keibuan, mendapati bahawa anak-anak kepada bapa yang berusia 40 tahun ke atas 5.75 kali lebih berkemungkinan mengalami gangguan spektrum autisme berbanding anak-anak kepada bapa yang berusia kurang 30 tahun.[17] Umur kebapaan yang lanjut turut dikorelasikan dengan skizofrenia dalam banyak hasil kajian.[18][19][20]

Para penyelidik Australia telah menemui bukti yang menunjukkan bahawa obesiti boleh mengakibatkan sedikit kerosakan pada sperma dan menjejaskan peluang kehamilan. Kata mereka, penyuburan menjadi 40% kurang berpeluang untuk berjaya apabila si bapa terlebih berat badan.[21]

Persatuan Kesuburan Amerika mengesyorkan agar sesiapa yang ingin menderma sperma haruslah berusia 50 tahun ke bawah.[22] Lebih-lebih lagi, di United Kingdom, klinik kesuburan tidak menerima sperma dari lelaki yang berusia lebih 40 atau 45 tahun.[23]

Rujukan

WikiPedia: Kesuburan http://www.smh.com.au/lifestyle/wellbeing/fat-men-... http://www.gfmer.ch/Books/Reproductive_health/The_... http://www.duofertility.com/en/my-body/my-cycle/my... http://linkinghub.elsevier.com/retrieve/pii/S0015-... http://linkinghub.elsevier.com/retrieve/pii/S0531-... http://www.enotes.com/public-health-encyclopedia/f... http://findarticles.com/p/articles/mi_m1077/is_1_6... http://www.infertile.com/inthenew/sci/maleage.htm http://www.marchofdimes.com/professionals/14332_11... http://www.questia.com/read/105014031